Pages

Social Icons

Ceramah Israk Mikraj Dan Majlis Persaraan Tuan Haji Sulong B. Mat Ali



Pada 28 Jun 2012 yang lalu, SKKA telah menganjurkan sebuah program ceramah sempena Israk Mikraj yang jatuh pada tarikh 17 Jun 2012. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Pauzi Bin Mat Zin selaku penceramah jemputan dan juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Bukit Cempaka.



Sepanjang tempoh program, murid-murid dilihat kusyuk memberi perhatian terhadap input-input yang diberi oleh Ustaz Pauzi. Ustaz Pauzi menceritakan sejarah Israk Mikraj dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam tersebut. Gaya Ustaz Pauzi yang santai dan mempunyai unsur humor membuatkan murid-murid dan para guru seronok mendengar ceramahnya.


Sebelum menamatkan program, Ustaz Pauzi sempat membuat sesi soal jawab bersama murid-murid SKKA.  Terdapat 10 soalan yang diajukan kepada murid-murid tentang Israk Mikraj, dan setiap jawapan yang betul akan diberikan ganjaran oleh pihak penganjur.


Selain Program Ceramah Israk Mikraj, turut diadakan pada hari tersebut adalah majlis persaraan Guru Penolong Kanan 1 yang disayangi iaitu, Tuan Haji Sulong B. Mat Ali.


Majlis dimulakan dengan ucapan daripada wakil guru dan seterusnya daripada Guru Besar. Selepas itu, satu tayangan video dipaparkan yang mengisahkan serba sedikit tentang Tuan Haji Sulong. Kemudian, tibanya ucapan yang dinantikan oleh semua warga SKKA, iaitu ucapan daripada yang diraikan. Tuan Haji Sulong sempat berpesan kepada murid-murid untuk terus rajin berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Beliau juga turut mengingatkan guru-guru untuk sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.



Usai ucapan, majlis diteruskan pula dengan penyerahan tugas dan buku rekod mengajar kepada Guru Besar. Sebagai tanda penghargaan  kepada Tuan Haji Sulong, murid-murid serta warga SKKA telah menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada GPK 1 mereka yang dikasihi itu. Sebagai balasan, Tuan Haji Sulong turut menyediakan cenderahati untuk setiap warga SKKA yang ada pada hari tersebut.


Semoga kehidupan Tuan Haji Sulong akan sentiasa diberkati Allah s.w.t. dan dimurahkan rezeki.
Selamat Bersara! :)